Followers

Monday, August 30, 2010

Shopping jubah.... Shopping tudung....


Hari ini cuti umum. Cadangnya nak pergi bandar. Nak 'survey' jubah & tudung kot-kot ada yang berkenan di hati. Dah lama Kak Lis tak tempah pakaian.
Rasanya dah hampir 20 tahun.......

Kebanyakan beli di kedai @ butik aje. Bukan apa... risau kalau tempah nanti tak selesa dipakai. Sebab pernah beberapa kali tempah tapi tak puas hati. Senang-senang beli siap aje.. Lagipun Kak Lis ni cerewet sikit bab membeli jubah & tudung ni. Bukan cerewet bab harga... (tapi kalu mahal sangat-sangat sampai beratus-ratus ringgit tu memang la cerewet). Maksud Kak Lis, cerewet fasal warna,'cuttingnya' & yang paling utama menepati ciri-ciri berpakaian dalam Islam, sebagaimana firman Allah swt dalam:

Surah An Nur: 31 yang bermaksud...

"...... Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya & janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka......"

Bukan apa... jubah yang berada di pasaran sekarang ni memang banyak sekali tetapi tidak semua yang menepati kehendak ciri-ciri berpakaian dalam Islam iaitu:
*menutup aurat.
*tidak nipis hingga menampakkan tubuh se pemakai dari luar.
*tidak ketat @ sempit sehingga menanpakkan susuk tubuh si pemakai.
*warna pakaian yang tidak menarik perhatian lelaki bukan mahram.
*bukan untuk bermegah-megah.


Kadang-kanag sedih juga bila tengok wanita Islam berpakaian separuh menutup aurat & separuh tidak. Contonya pakai tudung tetapi terlalu kecil hingga tidak melepasi dada yang harus kita tutupi. Ada yang bertudung tetapi dikenakan dengan T Shirt 'adik' dengan seluar jeans yang sangat ketat hingga menampakkan papan punggung bila tunduk mengambil barang atau nampak pusat bila mengambil sesuatu di atas.
Lengan... usah cerita... memang nampak sejela2nya la..

Tidak kurang juga yang memakai baju kurung @ kebaya tetapi begitu ketat hingga menampakkan bentuk tubuh. Kadang-kadang baju ini dikenakan dengan selendang yang menampakkan jambul mereka yang diwarnakan dengan warna emas, coklat merah & sebagainya.

Kadang2 bila diamat-amati langsung tidak menampakkan keanggunan & keceriaan seseorang wanita tetapi lebih menampakkan kepada seseorang yang langsung tidak tahu menilai nikmat yang Allah telah berikan kepadanya.

"Dia orang ni pakai macam tu nak tunjuk kat siapa...?
Dia orang tahu tak cara diaorang berpakaian itu sebenarnya boleh mendatangkan 2 dosa... 1 dosa pada diri sendiri kerana tidak menutup aurat & ke 2 dosa pada orang yang melihatnya."


Itulah 2 persoalan yang selalu berlegar fikiran bila ternampak suasana begini.


Jubah dipasaran terbahagi kepada dua.Jubah tradisional & jubah moden. Jubah moden ni warnanya pelbagai ada yang cerah secerahnya, ada yang kelabu & tak kurang juga yang hitam. Bezanya ia dihiasi dengan manik-manik @ kerawang2. Manakala yang tradisional kebanyakan warnanya adalah kelabu, gelap & kehitaman & kainnya agak tebal.

Kak Lis ada kedua-duanya, tradisional & moden. Tetapi akhir-akhir ini memang susah nak dapatkan yang tradisional, kebanyakan di pasaran adalah yang moden. Bagi Kak Lis yang moden pun boleh kita beli, asalkan ianya menepati syarat-syaratnya berpakaian dalam Islam.

Biasanya kalau beli jubah, kak Lis suka yang warna gelap. Sampai member taukeh butik tanya... "Kak Lis ni tak nak ke 'try' pakai 'colour' yang cerah-cerah sikit..? Asyik2 gelap aje...!!". Sebab tu la.. dalam koleksi ada beberapa aje yang bewarna cerah. Nak buat macamana... hati dah terpaut pada yang gelap.. hehehe.

Bagi Kak Lis yang paling utama ialah menepati ciri-ciri berpakaian wanita islam selain sudah semestinya kak Lis akan pastikan akan sentiasa kelihatan bersih, kemas dan anggun. Bukan apa... Islam tu kan suka pada kekemasan.. lagi pun kalu kita berperwatakan kotor , selekeh & tidak kemas macamana kita hendak duduk bersama orang lain untuk bersama-sama mengerjakan kebaikan.
Sebab orang tengok kita pun tak mahu, usahkan nak datang dekat dengan kita.

Harap-harap semoga 'survey' Kak Lis nanti bukan setakat 'survey' tetapi mampu membawa pulang Jubah & tudung yang boleh menutup aurat sebagaimana menepati kehendak Islam.

Agaknya mungkin ada rakan-rakan yang bercadang untuk membali baju & tudung pada hari ini.
Jangan lupa ya.......

Pastikan baju & tudung pilihan kita itu.....
benar-benar menepati syarat berpakaian dalam Islam agar kita sentiasa dalam RedhaNya.

Saturday, August 28, 2010

Jalan... jalan... cari kasut..


Seperti biasa bila dah dekat nak raya ni... pusat membeli belah menjadi tumpuan umat Islam membeli belah keperluan raya. Kak Lis pun sama, tumpang sekaki.... hehehe. Niat di hati untuk mencari kasut. Kebetulan kasut yang dipakai ni dah rosak. Al maklum aje la selalu digunakan.

Kak Lis memang jenis orang yang tak suka banyak kasut. Biasanya 1 pasang aje dan sudah pasti warna hitam menjadi pilihan. Pernah juga beli warna coklat tetapi hitam jugak yang bertahta dihati. Tak tau la kenapa...... mungkin
"Hitam itu menawan kot..."

Oh ya..... kalau nak tau dari zaman 'student' sampai sekarang fesyen kasut yang Kak Lis pakai tetap sama. Bertutup penuh & bertumit tidak tinggi iaitu kurang dari 1 inci dan sudah pasti yang bertumit lebar.
& jenis lebar di depan "B shape".

Oleh kerana kasut tu dah rosak maka terpaksalah Kak Lis beli yang baru & sama-sama menyibuk kat kedai kasut. Kira jadi kasut raya la ni. Orang kata " 2 in 1..." gitu ha...

Masa sedang pilih kasut tu, tak sangka pulak begitu ramai kaum sejenis dekat kedai tu.
Baru teringat.... mereka mesti nak beli kasut raya. "Ah tak kisah la...... janji aku dapat kasut. dah tak tahan pakai kasut yang rosak ni. ". Detik hati ini. Sedang Kak Lis memilih kasut, Kak Lis terlihat seorang perempuan muda dalam lingkungan 30 an sedang mencuba beberapa pasang kasut.

"Mak datuk.. tingginya.." Detik hati Kak Lis. Bukan setakat tinggi sejengkal... tumitnya lebih halus dari jari kelengkeng Kak Lis ni ha...
"Sure" tergolek kalu aku pakai kasut tinggi macam tu...hehehe..." Detik hati ini sekali lagi dengan muka yang sikit tersenyum.

Belum sempat habis memikirkan fasal perempuan tersebut tiba-tiba terlihat pulak orang di sebelah Kak Lis yang mempunyai citarasa yang sama dengan perempuan yang pertama tadi. Bezanya ialah dari segi umur. Kak Lis rasa kalau di lihat dari raut wajahnya umurnya dalam lingkungan awal 40 an.

Kak Lis cukup teruja... walaupun dia agak berumur tetapi dia tetap menjaga nikmat yang Allah berikan kepadanya berupa kesihatan & tubuh badan yang sihat dengan cara mementingkan imej & keterampilan dirinya.

"Sesungguhnya Allah sangat suka melihat kesan nikmatNya ke atas hambaNya."
(Hadith Riwayat Tarmidzi & Hakim)

Sebagai seorang wanita Islam kita seharusnya sentiasa menjaga imej & keterampilan...
Mesti sentiasa kelihatan kemas....
Mesti sentiasa kelihatan anggun...
Mesti sentiasa ceria...
Mesti sentiasa sihat....
Mesti sentiasa cergas...

Barulah orang lain senang hendak mendekati kita & mudah untuk kita mengajak ke arak kebaikan.
Bayangkanlah jika kita sentiasa tidak sihat, sentiasa sakit & bermuka sugul, apa-apa yang kita pakai tidak akan mengubah keterampilan diri dan yang rugi adalah diri kita sendiri....

"Ok ke kak saiz tu dengan akak...??" Terdengar suara jurujual inginkan kepastian.
"Errrrr.......... ok boleh." jawab Kak Lis. Kasut yang Kak Lis beli saling tak tumpah seperti yang sebelum ini, yang penting ia mempunyai ciri-ciri yang baik untuk kesihatan kaki dan tubuh badan Kak Lis.

Bukan apa Kak Lis teringat sangat kajian yang dibuat bahawa kasut yang tingginya 2.3 inci akan menanggung 50% beban berat badan seseorang. Manakala 3 inci pulak akan menanggung 70% beban berat tubuh. Kalau sejengkal....?????? Tak tau la nak kata apa.... Tambah-tanbah se pemakai tu bertubuh besar & berisi.... Ish.. ish...ish...

Bukan itu je...
Kak Lis tak sanggup dapat masalah spina & pinggul yang terkeluar dari kedudukan asalnya....
Masalah tulang belakang herot....
Sakit tumit akibat tendon Achhilles jadi pendek...
Sakit leher & kepala dek asyik mengimbang badan...
Bukan tu aje... boleh dapat masalah kencing tak lawas...
Juga masalah kitaran haid yang tak teratur...

Memang la bila berjalan nampak tegak & cantik tapi badan kita merana akibatnya.

Oleh itu, rakan-rakan yang dikasihi.....
Kuserahkan kepadamu memilih kasut idamanmu...
Apa yang penting pastikan.....
Kesihatan, keanggunan & kejelitaan tetap bersamamu.



Friday, August 27, 2010

Sayur pecal mampu turunkan berat badan....


Seperti biasa, selesai tugas di tadika Kak Lis akan ke pasar membeli makanan untuk dimasak. Sampai di pasar, kepala ini ligat berfikir... apakah yang hendak dimasak untuk berbuka. Kak Lis sentiasa pastikan makanan yang dimasak untuk dimakan bersama suami & anak-anak adalah seimbang & berkhasiat.

Sampai di rumah Kak Lis akan terus ke dapur untuk memasak, kerana terpaksa pulak mengambil anak2 balik dari sekolah & ke studio aerobik pada waktu petangnya. Walaupun bulan Ramadhan.... rutinnya tetap sama.

Pada hari ini, Kak Lis memilih masakan "Sayur pecal" & ayam masak kicap tanpa minyak.. iaitu satu masakan yang sangat berkhasiat kerana dimasak tanpa minyak tetapi mempunyai rasa yang cukup lazat.

*Sayur pecal*

Bahan A (untuk sayur):
-2 batang timun - di potong seperti timun untuk sate
-10 batang kacang panjang (dipatah2 & di celur)
-Rm1.00 kangkung- dicelur
-50sen taugeh- dicelur
-2 biji tauhu - digoreng & dipotong
-1/2 batang lobak - dipotong halus
- Sebelah ubi sengkuang (jika suka)
- 1/4 biji buah nenas (jika suka)


Bahan B (untuk kuah):
-RM1.00 kacang tanah- digoreng dgn minyak & ditumbuk halus.
-Segenggam bawang merah - dikupas & dipotong 2
-3 biji lada besar - dikerat 2.
-Lada kecil mengikut padas yang disukai.
-4 sudu minyak masak
-Asam jawa sebesar ibu jari (di jadikan air asam jawa)
-2 cawan air masak (ikut kepekatan yg dikehendaki)

Cara membuat kuah:
* Bawang merah, lada besar & lada kecil digoreng hingga naik baunya.
* Campur bahan A & bahan B bersama air masak, air asam jawa, gula & garam
(mengikut citarasa)
* kacau hingga sebati
* Sedia untuk dimakan.

Selamat mencuba...
Jika anda amalkan makan "Sayur pecal" ini setiap malam sebagai ganti kepada nasi...
InsyaAllah berat badan anda akan berkurangan.

Resepi ayam masak kicap tanpa minyak akan dikongsi bersama selepas ini...

Thursday, August 26, 2010

Jadikan diri anda sihat, cergas & ceria di bulan Ramadhan...


"Dari mana ni Cikgu Lis..."
Tanya seorang kawan kepadaku ketika aku ke gerai kueh- muehnya di salah satu bazar Ramadhan beberapa hari yang lalu.

Belum sempat aku menjawab tiba-tiba soalan yang ke dua datang kepadaku..

"Dari tempat aerobik ke?
Aku pun tersenyum sambil berkata ... "Ha.. ah dari tempat aerobik."

"Ish ish ish... puasa pun aerobik juga ? Tak letih ke?
Tanya Cik Mah lagi dengan muka penuh kehairanan & ingin tahu, sambil memasukkan kueh akok (kueh traditional negeri Kelantan) kegemaran anak-anakku.

Sambil tersenyum aku menjawab, "Alhamdulillah tak.. ".
"Kalau Cik Mah nak tahu... masa berpuasalah masa yang baik untuk kita melakukan senaman kerana badan kita akan jadi lebih cergas dan bertenaga."

"La... gitu ke Cikgu Lis..?" Tanya Cik Mah kepada ku dengan rasa penuh kehairanan.

"Betul Cik Mah... Bulan puasa biasanya badan kita cepat rasa letih & lesu akibat terlalu banyak rehat dan tidur disamping mengurangkan aktiviti fizikal kita sebagaimana sebelum bulan Ramadhan. Kesemua ini kita lakukan dengan alasan...
  • Takut letih
  • Takut haus
  • Takut pengsan
  • dan sebagainya
Sekiranya kita mengurangkan aktiviti fizikal dan banyakkan berehat @ tidur sudah pasti badan kita akan rasa lemah & lesu. Bukan itu aje Cik mah... apa yang paling ditakuti ditambah dengan amalan pemakanan kita yang tidak sihat seperti makan banyak karbohidrat & makanan yang manis-manis akan menyebabkan berat badan bertambah.

Sepatutnya berat badan kita makin berkurang kerana kurang makan di siang hari tapi jadi makin bertambah pulak akibat makan yang berlebihan masa berbuka. Silap-silap tamat je bulan Ramadhan penyakit kencing manis & darah tinggi pun menghinggapi kita."

Jelasku kepada Cik Mah.

"Untuk pengetahuan Cik Mah setiap tenaga (glukos) yang tersimpan dalam badan yang kita dapat hasil dari makanan yang kita makan masa berbuka & bersahur sepanjang bulan Ramadhan, perlu kita keluarkan. Jika tidak ia akan berada dalam badan kita sebagai lemak. Inilah punca kepada kegemukan, darak tinggi & jantung. Caranya hanyalah dengan melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam berdasarkan kemampuan masing-masing.

Apabila kita bersenam semasa kita berpuasa, jantung & pernafasan kita bergerak cepat. Justeru itu kita perlukan tenagan untuk mengatasinya. Bermakna badan akan menggunakan tenaga (glukos) yang tersimpan dalam badan kita. Kekurangan "glycogen" dalam badan kerana berpuasa ditambah lagi dengan aktiviti senaman akan membantu proses pembakaran lemak.

Selain dari dapat mengeluarkan peluh, bersenam juga akan melancarkan pengaliran darah & sekaligus membentuk kekuatan otot. Hasilnya kita akan mendapat bentuk badan yang cantik yang menjadi idaman kita selama ini."
Jelasku dengan panjang lebar.

"Oooo..... gitu ke..??"
Tanya Cik Mah dengan penuh kehairanan. Kerana bagi Cik Mah inilah baru pertama kali dalam hidupnya dia mendapat penerangan yang cukup bermakna sekali.

"Sebab itulah saya tetap bersenam walaupun di bulan Ramadhan. Lagi pun dengan bersenam membuatkan saya berasa lebih sihat, cergas dan bersemangat untuk menjalankan aktiviti di siang hari mahupun di malam hari. Almaklum aje la.... Ramadhan tinggal beberapa hari je lagi.. saya perlu pastikan badan saya sentiasa sihat, agar saya dapat menjalaninya ibadah di bulan yang mulia ini sebaik mungkin." Sambung ku lagi.

"Seronoklah dengar penerangan dari Cikgu Lis fasal bersenam semasa di bulan Ramadhan. Rasa bersemangat la pulak......" Kata Cik Mah dengan senyum puas.

"Cukup ke 8 keping kueh akok ni Cikgu Lis? Kat rumah tukan ramai......"
Tanya Cik Mah pada ku.

"InsyaAllah cukup Cik Dah....kira sekeping sorang je, lagipun kueh akok ni manis & berlemak, kira dalam 45 kalori sekeping pulak tu, kalau makan banyak2 tak boleh la....
sebab lepas tu nak makan nasi pulak..... " Jawab ku kepada Cik Mah.

"Betul tu Cikgu Lis."
Angguk Cik Mah tanda penuh setuju sambil memberikan bungkusan akok kepada ku.

"Terima kasih Cikgu Lis kerana bagi penerangan yang panjang lebar fasal bersenam di bulan Ramadhan. Seronok & bersemangat jadinya Cik Dah. Ingat esok lepas Subuh & mengaji Quran nak ajak abang Daud pergi jalan kaki." Kata Cik Mah dengan gembira.

"Bagus tu Cik Dah." Jawabku sambil tersenyum puas kerana petang itu aku dapat menyedarkan Cik Mah betapa perlunya kita berusaha untuk cergas & ceria di bulan Ramadhan.

"Semoga kita semua sama-sama tidak mengabaikan aktiviti fizikal walaupun semasa kita sedang berpuasa."

Tips untuk rakan-rakan:
  • Mesti dilakukan sekurang2nya 3 kali seminggu.
  • 30-60 minit setiap sesi.
  • Mulakan dengan aktiviti pemanasan badan & diakhiri dengan aktiviti regangan.
  • Lakukan aktiviti fizikal berdasarkan kemampuan anda.
"Semoga kita sama-sama CERGAS, SIHAT & CERIA di bulan yang Ramadhan yang mulia ini.